Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:10pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Norazman Mohamad Yusof menunjukkan gambar barang kes yang berjaya menumpaskan geng 'topoi Hilux' satu sindiket mencuri kereta pada sidang media IPK Negeri Sembilan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Geng Topoi Hilux tumpas

SEREMBAN: Polis menumpaskan sindiket mencuri pacuan empat roda dikenali sebagai Geng Topoi Hilux yang mempunyai kepakaran melarikan kenderaan jenis Toyota Hilux.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusof, berkata siasatan mendapati sindiket didalangi tiga lelaki berusia 21 hingga 31 tahun itu mencuri 10 Toyota Hilux di sekitar negeri ini, sejak awal tahun lalu.

"Kumpulan ini hanya mencuri apabila mendapat permintaan daripada rangkaian sindiket lain yang mencari pembeli.

"Mereka biasanya menjual pacuan empat roda curi itu antara RM14,000 sehingga RM20,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yang memburu ketiga-tiga suspek akhirnya berjaya mengesan dan menahan mereka di Genting Highlands, 7 September lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek disahkan positif dadah jenis Methamphetamine ketika ditahan.

Katanya, pihaknya turut merampas set peralatan mencuri kenderaan daripada suspek dan kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Sementara itu, Nor Azman berkata, pihaknya mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes berasingan.

Katanya, Seh Woon Loong, 47, dan Wong Chun Yuen, 31, masing-masing beralamat terakhir di Jalan Rahang dan Taman Mambau di sini, diminta tampil bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 41 tahun di daerah ini, pada 11 April 2015.

Selain itu, katanya, K Nagarajan, 30, yang beralamat terakhir di Desa Cempaka Putra Nilai, Nilai, diminta tampil bagi membantu kes kematian seorang lelaki berusia 43 tahun di Nilai, dekat sini, pada 16 Julai 2015.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga lelaki terbabit diminta menghubungi polis," katanya.

235 dibaca
Berita Harian X