Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:19pm
BESI tajam sepanjang satu meter yang berada di tengah laluan Kilometer 71 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Simpang Renggam. - Foto Ihsan PDRM.
ANTARA 15 kenderaan termasuk seorang penunggang motosikal saling berlanggar antara satu sama lain berikutan cuba mengelak serpihan berkenaan. - Foto Ihsan PDRM.

15 kenderaan berlanggar elak besi tajam

KLUANG: Lebih 15 kenderaan termasuk penunggang motosikal terbabit dalam kemalangan ketika cuba mengelak serpihan besi tajam dalam kejadian di Kilometer 71 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Simpang Renggam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, beberapa kenderaan yang tidak menyedari kewujudan besi besi tajam sepanjang satu meter itu melanggar serpihan itu sebelum beberapa kenderaan lain yang cuba mengelak besi itu saling berlanggar antara satu sama lain.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata tiada kemalangan jiwa berlaku namun seorang penunggang motosikal yang turut terbabit mengalami cedera ringan dan luka di bahagian tangan, badan dan kaki kerana terjatuh.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila salah satu kenderaan melanggar serpihan besi tajam itu yang dipercayai jatuh dari atas sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.

"Susulan itu berlaku kemalangan apabila beberapa kereta lain yang mahu mengelak objek berkenaan namun akhirnya menghentam dan berlanggar sesama sendiri.

"Setakat ini, polis hanya menerima laporan daripada lima pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu.

"Beberapa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berkenaan masih belum tampil untuk buat laporan kemalangan diminta segera berbuat demikian," katanya.

Mohamad berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

2732 dibaca
Berita Harian X