Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:11pm
ORANG ramai memberi bantuan awal terhadap seorang kanak-kanak berusia lima tahun selepas terjatuh dari tingkat lima Flat Desa Relau 1, Relau, Pulau Pinang. - Foto Ihsan Pembaca

Kanak-kanak 5 tahun parah jatuh flat

GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia lima tahun parah selepas terjatuh dari tingkat lima Flat Desa Relau di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bahagian dapur rumahnya ketika cuba mengambil basikalnya.

Orang ramai yang menemui mangsa terjatuh di bawah flat kemudian memaklumkan keluarganya sebelum kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Izwan Abd Karim, berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit.

"Tiada laporan dibuat mengenai kejadian setakat ini, namun anggota kita sudah ke rumah mangsa dan dimaklumkan keluarganya menghantar kanak-kanak itu ke HPP.

"Kita dalam proses menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan kepastian dan butiran lanjut mengenai mangsa bagi memudahkan siasatan," katanya dalam kenyataan.

2479 dibaca
Berita Harian X