Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:31pm
POLIS menahan suspek bagi membantu siasatan kes rogol seorang pelajar di Kuching.

Telefon bimbit bongkar kes rogol

KUCHING: Tindakan seorang pelajar perempuan membawa telefon bimbit ke sekolah membongkar rahsia dia menjadi mangsa rogol teman lelakinya.

Kejadian itu disedari oleh guru disiplin yang merampas dan memeriksa telefon berkenaan menemui gambar pelajar berusia 15 tahun itu bersama-sama seorang lelaki di atas katil.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata, guru terbabit kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada ibu pelajar terbabit pada 29 September lalu.

Beliau berkata, berikutan itu wanita itu membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya dirogol lelaki terbabit.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa mengaku mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya yang berumur 24 tahun di rumah suspek di Jalan Padungan Kuching sejak bulan Disember 2016 dan kali terakhir adalah pada 17 September lalu.

"Mangsa mengenali suspek sejak bulan Disember 2016 melalui aplikasi Wechat dan sering keluar bersama. Sejak itu, pelajar terbabit juga kerap ponteng sekolah," katanya.

Abang Ahmad berkata, suspek berjaya ditahan di tepi Jalan Wan Abdul Rahman, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku merogol mangsa dan hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methampetamine," katanya.

Abang Ahmad berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

24882 dibaca
Berita Harian X