Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:33pm
ANGGOTA bomba sedang berusaha mengeluarkan jenazah mangsa kemalangan di Kilometer 269.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Seremban, awal pagi tadi tadi. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

'Maut menjemput selepas uruskan jodoh'

SEREMBAN: Perjalanan pulang seorang lelaki selepas menguruskan persiapan majlis perkahwinannya, berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 269.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tengah malam tadi.

Aliff Ashraf Rosli, 24, yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Cyberjaya, mengambil cuti tiga hari sejak Selasa lalu, untuk pulang ke rumahnya di Bandar Tenggara, selain berkunjung ke rumah bakal mentuanya di Tampoi, Johor.

Seorang ahli keluarganya yang enggan nama disiarkan, berkata mangsa keluar dari rumah bakal mentuanya selepas berbincang mengenai persiapan majlis kahwin jam 9 malam tadi, untuk pulang ke rumahnya di Putrajaya, kerana sepatutnya mula bekerja, hari ini.

"Segala persiapan perkahwinan sudah disiapkan, tidak sangka ajalnya tiba lebih awal," katanya yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.

Aliff meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan selepas tersepit dalam keretanya yang remuk akibat kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban, jam 12.44 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie, berkata siasatan awal mendapati, kereta mangsa hilang kawalan selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dari belakang sebelum dirempuh sebuah treler.

"Dalam kejadian itu, kereta mangsa yang terbabas melanggar sebuah kereta lain yang kemudian melanggar sebuah lagi MPV. Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa masuk ke laluan kiri sebelum dirempuh treler," katanya di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

7148 dibaca
Berita Harian X