Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:48pm
MAYAT Siti Aishah Kassim, lima tahun, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Ulu Melaka, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
MAYAT Siti Aishah Kassim, lima tahun, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Ulu Melaka, hari ini. - Foto Ihsan Bomba

Mangsa terakhir tragedi 'kepala air' ditemui

LANGKAWI: Mayat terakhir mangsa tragedi 'kepala air' di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, di sini, ditemui berhampiran surau di Kampung Bukit Kemboja di sini, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk kes ini yang juga Pegawai 'On Call', Penolong Penguasa Bomba, Mohd Syukri Ahmad Husaini, berkata mayat Siti Aishah Kassim, lima tahun, dari Kampung Bukit Malut di sini, ditemui pada jam 4.26 petang.

"Mangsa ditemui orang awam di tepi tebing sungai berhampiran kawasan perangkap sampah, berdekatan surau di Kampung Bukit Kemboja kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, sebentar tadi.

Terdahulu mayat Qistina Puteri Wira, 11, ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian pada jam 5.30 petang, semalam, manakala mayat Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, ditemui pada jam 12.40 tengah malam dan Anis Shahtirah Saad, 12, 11.46 pagi tadi.

Dalam kejadian berpunca dari 'kepala air' di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang pada jam 4.30 petang semalam, semua mangsa dihanyut arus deras 'kepala air'.

2302 dibaca
Berita Harian X