Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:55pm

Polis tumpas sindiket seludup rokok, arak

PORT DICKSON: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan arak serta merampas barangan bernilai hampir RM100,000 di sebuah rumah di Ladang Sendayan, Siliau di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata polis turut menahan tiga lelaki termasuk dua warga India berusia 42 hingga 61 tahun dalam serbuan jam 11 malam kelmarin.

"Antara barangan yang dirampas ialah 1,496 kartun rokok serta sejumlah kotak arak pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Katanya, dua warga India itu direman selama 14 hari, manakala lelaki tempatan (tiga hari) mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Zainudin berkata, pihaknya menahan 29 lelaki berusia 20 hingga 40 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini melalui Ops Lejang, sejak dua minggu lalu.

"Sepanjang tahun ini, polis menerima sebanyak 64 laporan kes kehilangan motosikal dan kita berjaya menyelesaikan kira-kira 50 peratus daripadanya melalui tangkapan itu," katanya.

Katanya, polis turut merampas 15 buah motosikal dipercayai hasil curi selain pelbagai komponen termasuk enjin.

91 dibaca
Berita Harian X