Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:26pm
FARMILA Osman menunjukkan gambar arwah anaknya, Qistina Puteri Wira yang ditemui lemas dalam tragedi 'kepala air' di air terjun Lubuk Semilang, Langkawi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ranggut, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Ibu terkilan permintaan anak berakhir tragedi

LANGKAWI: Ibu kepada seorang mangsa lemas akibat insiden 'kepala air' di Lubuk Semilang di sini, terkilan kerana permintaan anaknya untuk berkelah di situ berakhir tragedi.

Farmila Osman ibu kepada mangsa lemas, Qistina Puteri Wira, 11, berkata walaupun tidak sihat kerana selesema, dia gagahi juga melayan permintaan tiga anak untuk berkelah di situ bersama rakan lain petang semalam.

Akibat kejadian kepala air jam 4.30 petang semalam, mayat Qistina ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sejam kemudian.

Farmilla turut membawa dua lagi anaknya Mohd Qarin Putra, 8, dan Mohd Qayuum, 7, namun mereka terselamat.

Selain Qistina, tiga kanak-kanak lain yang lemas ialah Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, ditemui pada jam 12.40 tengah malam; Anis Shahtirah Saad, 12, ditemui 11.46 pagi tadi dan mayat Siti Aishah Kassim, 5, dari Kampung Bukit Malut di sini, ditemui pada jam 4.26 petang tadi.

Kanak-kanak berkenaan dihanyutkan arus deras akibat kejadian 'kepala air' kira-kira jam 4.30 petang semalam.

"Ketika kejadian kepala air, saya berada dalam kereta di tempat letak kereta.

"Namun saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila melihat kumpulan lelaki yang juga pengunjung di kawasan air terjun berlari dalam keadaan cemas.

"Saya keluar dari kereta dan bertanya kepada seorang lelaki apa yang berlaku dan dimaklumkan sekumpulan kanak-kanak dihanyutkan kepala air," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Ranggut di sini, hari ini.

Sebaik sampai di tepi sungai, Farmilla dapati Qistina adalah antara mangsa yang dihanyutkan kepala air, manakala dua adik lelakinya terselamat.

Farmila berkata, jenazah anak sulungnya itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Padang Ranggut di sini, pada jam 11.30 pagi tadi.

3240 dibaca
Berita Harian X