Ahad, 22 Oktober 2017 | 9:50am
Operasi mencari mangsa kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Operasi mencari mangsa kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Danial Saad
Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut hadir dalam operasi mencari mangsa kejadian tanah runtuh dalam kejadian di tapak pembinaan Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Danial Saad
Pelbagai agensi keselamatan dalam operasi mencari mangsa kejadian tanah runtuh dalam kejadian di tapak pembinaan Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Danial Saad

3 mangsa runtuhan tanah selamat

GEORGETOWN: Tiga daripada 14 mangsa runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah sempat menyelamatkan diri ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Penolong Ketua Pengarah (Operasi dan Menyelamat) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Edwin Galan Teruki, berkata dua mangsa warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, mereka dapat menyelamatkan diri selepas dikatakan melambung ke permukaan tanah. Semuanya dilapor mengalami kecederaan ringan.

"Mereka dipercayai pergi sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kita sudah mengesahkan perkara ini dan berusaha mengenal pasti lokasi mangsa lain.

"Berdasarkan petunjuk baharu ini, kita yakin dapat mengesan baki lima mangsa secepat mungkin dan dijangka dapat diselesaikan menjelang petang ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, seramai 14 kakitangan pembinaan yang melakukan kerja mengikat konkrit terperangkap dalam kejadian runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik, jam 8.50 pagi.

Susulan kejadian itu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dikerahkan bagi membantu operasi SAR mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah terbabit.

Edwin berkata, sebanyak 1,000 tan tanah dikeluarkan bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang tertimbus.

Katanya, pihak pemaju diarah menambah bilangan jentolak dan lori bagi mengangkut lebih banyak tanah di lokasi kejadian bagi membantu dan memudahkan operasi SAR.

3224 dibaca
Berita Harian X