Ahad, 22 Oktober 2017 | 8:23pm

Dua lagi mangsa belum ditemui

GEORGETOWN: Mayat mangsa kesembilan runtuhan tanah di tapak perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah ditemui dalam keadaan terhempap di bawah bongkah batu serta tersekat antara besi cerucuk, petang tadi.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Edwin Galan Teruki, berkata pihaknya sukar untuk mengeluarkan mayat terbabit yang dijumpai pada jam 6.20 petang.

"Kita berhati-hati dalam melakukan operasi mengeluarkan mangsa kerana tidak mahu anggota badannya mengalami kecederaan ekoran kedudukannya ketika ditemui agak sulit untuk digerakkan, selain ia dijumpai dalam jarak satu meter dari mayat kelapan.

"Identiti mangsa kesembilan ini bagaimanapun masih belum dikenal pasti, selain operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih tertimbus diteruskan sehingga malam ini dengan misi pencarian dikecilkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Seramai 11 pekerja pembinaan yang sedang melakukan kerja mengikat konkrit terperangkap dalam kejadian runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, pada jam 8.50 pagi semalam.

Edwin berkata, pihaknya menyifatkan operasi SAR semua mangsa yang terbabit dalam kejadian runtuhan tanah itu sebagai berjaya apabila hampir keseluruhan mayat dapat dikeluarkan dalam tempoh 48 jam.

"Operasi ini boleh dikatakan berjaya dan kita akan mengecilkan kawasan pencarian serta bilangan anggota," katanya.


ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat kesembilan runtuhan tanah di tapak perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Danial Saad

Sementara itu, Pengarah JBPM negeri, Saadon Moktar, berkata operasi SAR dua lagi mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah itu akan diteruskan dengan jangkaan dapat diselesaikan malam ini.

"Bagaimanapun, perjalanan operasi ini juga akan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk keadaan cuaca dan keselamatan anggota penyelamat," katanya.

631 dibaca
OPERASI mencari mangsa runtuhan tanah di tapak perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto BERNAMA
ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat kesembilan runtuhan tanah di tapak perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Danial Saad
OPERASI mencari mangsa kejadian tanah runtuh terus dilakukan pada waktu malam. - Foto Danial Saad
OPERASI mencari mangsa kejadian tanah runtuh terus dilakukan pada waktu malam. - Foto Danial Saad
OPERASI mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih tertimbus diteruskan sehingga malam ini dengan misi pencarian dikecilkan. - Foto Danial Saad
ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat mangsa kesembilan runtuhan tanah di tapak perumahan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Danial Saad
Berita Harian X