Isnin, 23 Oktober 2017 | 9:50am
ANTARA anggota bomba yang terlibat mencari mayat mangsa ke-10 runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Ramdzan Masiam

Dua mangsa terakhir sudah dijumpai

GEORGETOWN: Mangsa ke-10 runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anur Omar, berkata mayat lelaki warga Bangladesh, Muhammad Monirul Islam, dikeluarkan pasukan penyelamat pada jam 8.25 pagi tadi, selepas ia ditemui pada jam 7.13 pagi.

Katanya, usaha mengeluarkan mayat warga satu-satunya warga tempatan, Yuan Kouk Wern, 27, juga sedang giat dilakukan selepas pasukan penyelamat mengesan kedudukannya pada jam 7.03 pagi tadi.

"Pasukan penyelamat mengalami kesukaran mengeluarkan mayat Kouk Wern selepas mendapati kedudukannya berada di lokasi yang agak sulit dan tersepit di sebalik tiang cerucuk.


KENDERAAN polis membawa mayat mangsa ke-10 runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Ramdzan Masiam

"Pasukan penyelamat kini sedang bertungkus-lumus mengeluarkan mayat Kouk Wern," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Seramai 11 pekerja pembinaan yang sedang melakukan kerja mengikat konkrit terperangkap dalam kejadian runtuhan tanah, dalam kejadian di tapak pembinaan rumah mampu milik, pada jam 8.50 pagi, kelmarin.

Dalam pada itu, Anuar berkata, ketiga-tiga mangsa terselamat dalam kejadian itu yang melarikan diri selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) juga berjaya dikesan semula semalam.

Mereka ialah warga Myanmar, Gearsudin Sodul Haq yang mengalami kecederaan ringan di bahagian atas mata; warga Bangladesh, Mohammad Josin Rahman dan warga Indonesia, Roni Fasla.

"Kita sudah merakam percakapan ketiga-tiga mereka, kira-kira jam 5 petang semalam. Mereka didapati pergi ke rumah saudara masing-masing, sebelum kembali ke lokasi kejadian," katanya.

1110 dibaca
Berita Harian X