Selasa, 7 November 2017 | 12:39pm
RUMAH papan yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya awal pagi tadi.- Foto BERNAMA
RUMAH dua tingkat turut musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya awal pagi tadi.- Foto BERNAMA
SALAH seorang anggota keluarga mangsa terkejut setelah mengetahui ada ahli keluarga mereka rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya awal pagi tadi.- Foto BERNAMA

Terdengar letupan selepas selesai solat tahajjud

SUNGAI PETANI: "Saya dengar jeritan meminta tolong dari dalam rumah itu dan terpaksa menendang dinding rumah untuk selamatkan mangsa kerana pintu terkunci dari dalam," kata salah seorang mangsa yang terselamat dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Gelugor, awal pagi tadi.

Jamil Tikan, 60, adalah salah seorang mangsa dalam kebakaran yang berlaku jam 4.10 pagi, yang menyebabkan lima rentung dan seorang melecur teruk.

Katanya, sebaik berjaya masuk dalam rumah itu, Samsul, 40, merangkak dalam keadaan badan terbakar. 

"Sebaik api di badan Samsul padam, saya terus menolongnya keluar namun tidak sempat menyelamatkan yang lain. 

"Malah jeritan minta tolong juga tidak kedengaran selepas itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.  

Menceritakan semula kejadian itu, Jamil berkata, dia baru selesai solat sunat tahajjud sebelum terdengar bunyi letupan kecil. 

"Saya kemudian keluar sebelum terkejut melihat api marak di rumah jiran. 

"Saya kemudian terus mengejut ibu mentua, isteri dan adik ipar supaya keluar dari rumah dan berlari ke rumah jiran menjerit mereka keluar. 

"Saya sedih kerana gagal menyelamatkan Habi, Mad Kholel dan isterinya Umi, Misbahul Anwar dan Tobbiyah yang berada di dalam rumah itu, semua mereka saudara saya sekampung di Madura, Indonesia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata kebakaran membabitkan empat buah rumah mengorbankan lima mangsa dan seorang parah kerana melecur teruk.

Mereka yang maut ialah Mat Koleh, 40, bersama isterinya, Ummi, 35; Misbahul Anuar, 17; Habib, 43, Toyibah, 60. "Samsul yang melecur teruk dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, manakala mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat," katanya.

1620 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »