Jumaat, 10 November 2017 | 11:27pm
PROTON Satria dan Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh di Ipoh, hari ini.
MANGSA berusia 56 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh di Ipoh, petang tadi.

1 maut, 3 cedera

IPOH: Seorang lelaki maut manakala tiga termasuk dua wanita cedera dalam kemalangan tiga kereta di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan jam 5.15 petang itu, pemandu kereta Proton Saga berusia 56 tahun maut di lokasi kejadian.

Tiga mangsa yang cedera pula pemandu Proton Satria serta dua wanita yang menaiki Perodua Viva.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, berkata dalam kejadian itu lelaki yang memandu Proton Satria dalam perjalanan menghala ke bandar raya Ipoh dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian lalu merempuh tiang lampu di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta berkenaan kemudian merempuh Proton Saga yang dalam perjalanan menghala ke Kampung Tawas.

"Pada ketika itu juga, kereta Perodua Viva yang turut berada di laluan bertentangan tidak sempat menekan brek sebelum merempuh Proton Satria itu," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Mohd Ali berkata, kemalangan menyebabkan pemandu Proton Saga maut di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Pemandu dan penumpang Perodua Viva cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala, tangan dan lutut manakala pemandu Proton Satria belum dapat dipastikan tahap kecederaan," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat rempuhan.

1710 dibaca
Berita Harian X