Selasa, 14 November 2017 | 4:20pm

Semput selepas dihukum penjara 32 bulan

AYER KEROH: Seorang lelaki terpaksa ditenangkan selepas secara tiba-tiba semput sebaik Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 32 bulan atas dua tuduhan menyamar dan menawarkan barang lelongan polis yang tidak wujud, sembilan tahun lalu.

Majistret Norina Maludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Rani Md Sarif, 56, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 29 tahun dengan menawarkan penjualan telefon bimbit jenis Nokia N95 tidak wujud hingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM200.

Kesalahan didakwa itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu mangsa sama dengan menyamar sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sehingga mendorong mangsa mempercayai tawaran barang lelongan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan tertuduh di Hospital Pantai Ayer Keroh, kira-kira jam 10.30 pagi, pada 26 September 2008.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim, memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai 18 rekod jenayah sejak tahun 1987 dengan 13 daripadanya membabitkan kes tipu, malah tidak serik dengan hukuman dijatuhkan sebelum ini.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman diringankan dengan alasan baru menjalani pembedahan di bahagian perut dua bulan lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara bagi pertuduhan pertama, manakala 12 bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 7 November lalu.

655 dibaca
ABDUL Rani Md Sarif diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara 32 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas kesalahan menawarkan barang lelongan polis tidak wujud, sembilan tahun lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Berita Harian X