Selasa, 14 November 2017 | 4:45pm

Keadaan Kim Chol menunjukkan tanda diracun

SHAH ALAM: Keadaan lelaki warga Korea Utara, Kim Chol (yang didakwa sebagai abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam) ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya, konsisten dengan tanda seseorang yang diracun oleh organophosphate iaitu satu bahan asas dalam agen saraf VX.

Pegawai Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr R Kalyani, 34, dalam keterangannya berkata, kebiasaannya anak mata pesakit yang sudah meninggal atau selepas 30 minit diberi bantuan Pernafasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), akan mengembang.

Bagaimanapun, Kalyani yang pernah bertugas di Unit Kecemasan Hospital Putrajaya, berkata keadaan anak mata Kim Chol mengecil ketika beliau dibawa ke unit berkenaan pada 13 Februari lalu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, pada pemeriksaan utama, Dr Kalyani berkata, pemeriksaan luaran yang dijalankan ke atas mayat mangsa, mendapati ia berbeza daripada kes kematian yang biasa.

"Pemeriksaan mendapati tiada kesan lebam atau luka. Kebiasaannya, ia adalah tanda-tanda terkena racun secara spesifiknya oleh bahan organophosphate," katanya.

Saksi itu menjelaskan, apabila bahan itu dimasukkan ke dalam badan, ia boleh menyebabkan manusia mengalami beberapa simptom, termasuk menyebabkan anak mata mengecil.

Sementara itu, Kalyani berkata, selepas menjalankan pemeriksaan ke atas Kim Chol, beliau dan anggota pasukan perubatan lain terus melakukan CPR selama 30 minit, bagaimanapun menghentikan proses itu selepas pesakit tidak menunjukkan sebarang tidak balas.

Beliau berkata, mangsa yang sebelum itu dibawa ke hospital oleh pasukan paremedik Pusat Perubatan Menara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), sudah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak bernafas.

Katanya, jururawat yang membawa Kim Chol ketika itu memberitahunya, mangsa adalah seorang warga asing yang mendakwa disembur dengan sesuatu di mukanya.

"Saya tidak tahu nama mangsa ketika itu. Saya hanya memperoleh butiran pengenalan beliau selepas melihat pasportnya yang dibawa oleh pasukan paramedik.

"Jururawat sama memberitahu saya, pesakit berjalan dan bercakap ketika tiba di Pusat Perubatan Menara, bagaimanapun tidak berapa lama kemudian dia mula berpeluh dan menunjukkan tanda sawan sebelum rebah.

"Saya juga diberitahu mangsa diberikan ubat Adrenaline and Atropine selepas dia mengalami tekanan darah rendah. Saya bagaimanapun tidak boleh mengesahkan waktu kematian kerana tidak pasti bila beliau meninggal dunia," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.

355 dibaca
Berita Harian X