Selasa, 14 November 2017 | 6:21pm

Mangsa culik warga Bangladesh diselamatkan

JOHOR BAHRU: Polis menahan lima individu, termasuk seorang wanita, yang dipercayai menculik dan memeras ugut seorang lelaki Bangladesh berusia 41 tahun dalam kejadian di sebuah rumah kongsi, Gelang Patah, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata bertindak atas laporan pada jam 8 pagi Ahad lalu, tiga lelaki warga Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan, berusia 25 tahun hingga 38 tahun ditahan di sebuah restoran, di Semenyih, Selangor.

Katanya, dalam kejadian jam 11 malam Sabtu lalu, anak saudara mangsa menerima panggilan ugutan daripada suspek untuk memasukkan duit sebanyak RM45,000 ke dalam akaun suspek dengan segera atau bapa saudaranya akan dibunuh.

"Pengadu mengesyaki bapa saudaranya diambil oleh seorang lelaki Bangladesh yang dikenali dengan nama Hassan dan berkali-kali menelefon pengadu meminta untuk memasukkan duit secepat mungkin.

"Susulan daripada maklumat yang diterima, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat serbuan di sebuah restoran.

"Mangsa berjaya diselamatkan. Polis turut merampas dua kereta PROTON Wira, 10 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah buku akaun," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noor Hashim berkata, semua suspek direman selama 14 hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tujuh tahun dan denda.

Katanya, kes itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan dengan tujuan melakukan pemerasan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau sebatan.

562 dibaca
Berita Harian X