Selasa, 14 November 2017 | 6:59pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat Mohd Anif Eisha yang maut selepas dilanggar Komuter di landasan keretapi berdekatan Stesen Bukit Keteri, di sini, petang tadi. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Lelaki OKU maut dilanggar komuter

PADANG BESAR: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas dilanggar komuter di landasan berdekatan Stesen Keretapi Bukit Keteri, di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohd Anif Eisha, 34, yang disahkan mengalami masalah mental, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan serius pada kepala selepas tercampak beberapa meter sejurus dilanggar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani, berkata pihaknya menerima maklumat jam 4 petang daripada pihak Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang memaklumkan kejadian berkenaan.

"Berdasarkan maklumat daripada pemandu komuter, mangsa dilihat duduk di landasan kereta api sebelum tiba-tiba bangun untuk melarikan diri sejurus menyedari kehadiran komuter.

"Mangsa bagaimanapun tidak sempat mengelak dan dirempuh komuter dari arah Padang Besar ke Butterworth," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ghazani berkata, identiti mangsa dikenal pasti selepas pihaknya menemui kad pengenalan diri OKU pada lelaki itu yang kemudian turut disahkan saudaranya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

444 dibaca
Berita Harian X