Selasa, 14 November 2017 | 7:31pm
Keadaan rumah di Kampung Parit Haji Zain, Bakri yang digenangi air akibat hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Muar, pagi tadi. - Foto Badrul Kamal Zakaria
Siti Fatimah Yahya (kiri) bersama suaminya menunjukkan rumah mereka yang digenangi air di Kampung Seri Meranti, Pagoh, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Air naik mendadak

MUAR: "Air naik dengan agak cepat menyebabkan saya hanya dapat selamatkan sebahagian sahaja kelengkapan rumah daripada banjir kali ini," luah penduduk Kampung Seri Meranti, Pagoh, Siti Fatimah Yahya, 66.

Beliau berkata, rumahnya mula dinaiki air kira-kira jam 7 pagi tadi dan sehingga kini rumahnya yang terletak di kawasan berdataran rendah di kampung berkenaan masih lagi digenangi air setinggi paras lutut.

"Hujan agak lebat awal pagi tadi. Halaman rumah mula digenangi air akibat limpahan daripada parit berdekatan.

"Saya dan suami kemudian mula mengemas rumah bagi menyelamatkan barang, namun air naik dengan agak mendadak dan mula masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Siti Fatimah berkata, tahun ini sahaja, sudah tiga kali rumahnya dinaiki air iaitu pada Januari serta Mei lalu dan juga pada hari ini, yang disifatkan antara paling teruk pernah dihadapinya.

"Kali ini, beberapa perabot tidak dapat diselamatkan. Kami hanya sempat menyelamatkan apa yang dapat diangkat sahaja kerana air naik dengan cepat.

"Selain daripada faktor hujan lebat, antara punca menyebabkan banjir ini berlaku ialah disebabkan keadaan parit tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak," katanya.S

Sementara itu, Penduduk Kampung Parit Haji Zin, Bakri, Md Asror Kadi, 63, berkata hujan lebat menyebabkan air parit melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

"Setakat ini, hanya dua rumah penduduk terjejas apabila air memasuki rumah mereka. Tetapi, penduduk lain juga perlu sentiasa berjaga-jaga kerana paras air parit berdekatan juga dilihat semakin tinggi," katanya.

Difahamkan, tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini berikutan keadaan dilihat semakin baik dan pihak berwajib akan memantau keadaan kawasan berisiko dari semasa ke semasa.

2082 dibaca
Berita Harian X