Selasa, 14 November 2017 | 7:47pm
ORANG ramai yang mengenali mangsa atau mengenali warisnya, diminta segera berhubung dengan pihak polis bagi membolehkan proses tuntutan mayat. - Foto ihsan polis

Polis cari waris lelaki maut kemalangan

SUNGAI BULOH: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Pekan Subang arah ke Jalan Bukit Badak berhampiran pasar raya Econsave, Kampung Melayu Subang, di sini, 27 Oktober lalu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa yang juga pejalan kaki terbabit kemalangan dengan sebuah lori menyebabkannya cedera parah di kepala dan beberapa bahagian tubuh lain.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Asisten Superintendan Ramzi Mahmudin, berkata pihaknya tidak dapat mengenal pasti bangsa dan identiti mangsa kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya ketika kejadian.

"Mangsa dirawat Hospital Sungai Buloh (HSB) namun dia meninggal dunia pada 7 November lalu selepas 11 hari menerima rawatan.

"Mayat mangsa kini ditempatkan di Unit Forensik HSB sementara kita berusaha untuk mengesan warisnya bagi membolehkan mayatnya dituntut," katanya yang turut memaklumkan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, katanya orang ramai yang mengenali mangsa atau mempunyai maklumat mengenai warisnya diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 atau berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran.

8123 dibaca
Berita Harian X