Selasa, 14 November 2017 | 9:15pm
Warga Asing daripada negara Thailand bersama bayinya yang baru lahir turut ditahan pada serbuan dalam Operasi Bersepadu di sekitar Jalan Alor Bukit Bintang hari ini. - Foto BERNAMA

Bayi antara 400 PATI ditahan

KUALA LUMPUR: Bayi berusia empat hari bersama ibunya, antara 440 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di sekitar Jalan Bukit Bintang, di sini petang tadi.

Operasi dua jam bermula 5 petang itu membabitkan beberapa premis perniagaan di Jalan Alor dan Jalan Changkat di Bukit Bintang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata seramai 915 warga asing yang kebanyakannya bekerja di premis perniagaan di situ, diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Susulan pemeriksaan yang dijalankan, seramai 440 warga asing terdiri daripada 389 lelaki dan 47 wanita serta empat kanak-kanak berusia antara empat hari hingga 50 tahun ditahan.


Golongan warga asing yang ditahan akibat tiada mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah selepas serbuan pada Operasi Bersepadu di sekitar Jalan Alor Bukit Bintang hari ini. - Foto BERNAMA

"Warga Bangladesh antara PATI paling ramai ditahan, diikuti warga negara seperti Vietnam, Indonesia, Pakistan, India, Yaman dan beberapa negara lain," katanya pada sidang media sejurus selesai operasi berkenaan.

Antara kesalahan utama dikesan, tiada dokumen perjalanan sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta beberapa kesalahan lain.

"Serbuan dilakukan susulan aduan mengenai kebanjiran warga asing di lokasi berkenaan selain risikan yang dijalankan oleh anggota kita.

"Seramai 267 anggota penguat kuasa menjayakan operasi termasuk kerjasama agensi lain, Jabatan Pendaftaran Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pasukan Gerakan Am," katanya.

Katanya, pembabitan anggota yang ramai adalah kerana faktor kawasan operasi yang luas dan menjadi tumpuan pelancong, sekali gus memastikan tiada PATI terlepas.

Mustafar berkata, semua PATI yang ditahan dibawa ke depo tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.

1368 dibaca
Berita Harian X