Selasa, 14 November 2017 | 11:46pm
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad (tengah) menunjukkan sebahagian 41 suspek yang dikehendaki untuk menyelesaikan kes pelbagai jenayah di daerah ini ketika sidang media di IPD Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Cemburu motif pemilik kedai cuci kereta dibunuh

PORT DICKSON: Cemburu dikenal pasti sebagai motif pembunuhan pemilik kedai mencuci kereta kerana mangsa disyaki menjalin hubungan sulit dengan isteri suspek.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata suspek berusia 29 tahun itu sebelum ini tinggal di Tanjung Malim, Perak kerana menjalani hukuman buang daerah.

Siasatan awal mendapati suspek yang berang, menculik mangsa dan membawanya ke tanah perkuburan Siliau dekat ini dan membunuhnya dengan cara mengelar leher mangsa dengan menggunakan pisau dan parang, katanya.

Katanya, suspek yang dibantu beberapa rakannya menanam mangsa di dalam kubur yang menempatkan individu yang baru meninggal dunia dengan meletakkan mangsa di atas mayat individu itu.

Mayat pemilik kedai mencuci kereta itu ditemukan dalam lubang kubur itu pada Sabtu lalu.

Zainudin berkata, polis turut menjumpai seluar pendek dipercayai milik mangsa di sungai berdekatan, serta kunci dan alat penggera kereta milik mangsa yang sudah dibakar.

Katanya, suspek dan lapan yang lain termasuk isterinya ditahan dalam serbuan berasingan di Seremban, Perak dan Selangor dari 6 hingga 10 November lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. - BERNAMA

1272 dibaca
Berita Harian X