Ahad, 19 November 2017 | 12:01am
Staf Koresponden News Straits Times (NST) Sabah, Kristy Inus. - Foto Datu Ruslan Sulai

Wartawan NST Sabah disamun

PENAMPANG: Staf Koresponden News Straits Times (NST) Sabah, Kristy Inus disamun tiga lelaki dalam kejadian di depan pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di Tropicana Commercial Centre di Jalan Pintas, di sini, mangsa baru sahaja keluar dari pejabat dan berjalan menuju ke kereta di hadapan premis.

Berdasarkan rakaman kemera litar tertutup (CCTV) tiga lelaki datang dari arah jalan sebelum seorang suspek menghampiri mangsa.

Kristy ketika itu berada di bahagian belakang kereta untuk menyimpan barang, namun secara tiba-tiba dihampiri lelaki terbabit yang mengacukan sesuatu di belakang mangsa dan cuba merampas beg tangannya.

Bimbang dicederakan, mangsa melepaskan beg tangan berkenaan sebelum tiga suspek terbabit melarikan diri melalui belakang premis.

Antara barang yang hilang ialah dua telefon pintar serta sejumlah wang tunai.

Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang.

1703 dibaca
Berita Harian X