Khamis, 7 Disember 2017 | 5:32pm
DATUK Zulkifli Yahya (tiga kanan) bersama Pengarah Kastam Negeri Kedah, Datuk Johari Alifiah (empat kanan) serta pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam sekatan laluan kenderaan berat di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam dalam sidang media di Setor Penguatkuasaan Kastam Bukit Kayu Hitam. - Foto Sharul Hafiz Zam

Mercun disembunyi di sebalik kotak air mineral

BUKIT HITAM: Helah seorang pemandu lori kontena menyembunyikan lebih 20 tan mercun dan bunga api di sebalik kotak berisi air mineral ketika menyeludup bahan larangan terbabit dari Thailand, terbongkar dalam pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sempadan ini, kelmarin.

Petugas JKDM mencurigai gerak-geri dan muatan dibawa pemandu lori berusia 48 tahun terbabit, ketika cuba melepasi pemeriksaan di Laluan Kenderaan Berat Kompleks di Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, jam 4 petang, kelmarin.

Hasil pemeriksaan rapi, JKDM mengesan 1,122 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis buatan China seberat 20,755 kilogram (kg) dianggar bernilai lebih RM800,000 termasuk cukai yang dipercayai, cuba diseludup ke negara ini dari Thailand.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya, berkata petugas Laluan Kenderaan Berat ICQS mengesan muatan mencurigakan dalam kontena lori terbabit ketika proses imbasan dilakukan.

Katanya, hasil semakan pada sistem maklumat mendapati barangan dibawa lori kontena berkenaan belum diisytiharkan kepada JKDM.

"Susulan itu, lori terbabit ditahan sebelum pemeriksaan awal mendapati kontena dibawanya berisi kotak air mineral.

"Bagaimanapun, pemeriksaan rapi mendapati kotak air mineral itu hanya disusun pada bahagian paling depan kontena sebagai samaran, manakala selebihnya adalah kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah.

Zulkifli berkata, pihaknya percaya mercun dan bunga api terbabit cuba diseludup untuk pasaran tempatan, sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada akhir tahun ini dan Februari tahun hadapan.

"Suspek kini ditahan selama 14 hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

113 dibaca
Berita Harian X