Khamis, 7 Disember 2017 | 5:43pm
MANGSA lemas di lombong Kurnia Jaya selepas mengutip daun selom dibawa naik oleh anggota bomba.
MANGSA lemas di lombong Kurnia Jaya selepas mengutip daun selom dibawa naik oleh anggota bomba.

Lemas di lombong selepas kutip daun selom

TAIPING: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditemui lemas awal pagi hari ini selepas gagal berenang menyeberangi lombong Kurnia Jaya, Kamunting, ketika mengutip daun selom bersama rakannya.

Mayat Mohd Shah Rizal Ahmad berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat jam 3.05 pagi, hari ini selepas dipercayai lemas jam 3 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata mangsa berjaya ditemui selepas seorang penduduk menggunakan cara memancing dan mata kail melekat pada bibir mangsa.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa ke lombong berkenaan bersama rakannya untuk mencari daun selom di tepi lombong berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

"Mangsa dan rakannya mencari dan mengutip daun selom di tepi lombong dan berjaya merentasi bahagian tengah lombong di mana terdapat kawasan semak di dalam lombong itu.

"Apabila selesai mengutip daun selom kira-kira jam 3 petang, mangsa dan rakannya ingin pulang ke rumah dan merentasi lombong dengan berenang.

"Rakannya sudah menasihatkan mangsa supaya berjalan di tepi lombong berkenaan sekiranya tidak pandai berenang sebelum rakannya berenang menyeberangi sungai dan sebaik tiba di tepi lombong mendapati mangsa sudah tiada," katanya.

Razlam berkata, rakannya kemudian memanggil mangsa beberapa kali namun tiada jawapan sebelum meminta bantuan daripada penduduk kampung.

Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat di lombong sedalam sembilan meter itu.

"Anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar lombong itu gagal menemui mangsa sebelum mangsa berjaya ditemui selepas tersangkut pada mata kail digunakan.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan akibat lemas serta tiada unsur jenayah ditemui," katanya.

243 dibaca
Berita Harian X