Khamis, 7 Disember 2017 | 5:54pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media majlis Pelancaran Tabung Prihatin Pengaman Yayasan Pengaman Malaysia di Pulapol. - Foto Hafiz Sohaimi

PDRM tunggu siasatan polis Hong Kong sebelum ekstradisi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu proses siasatan pihak berkuasa Hong Kong selesai sebelum mengekstradisi enam rakyat Malaysia yang ditahan di Hong Kong kerana disyaki menyeludup dadah ketamin bernilai RM2 juta minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata PDRM sudah berhubung dengan polis Hong Kong, tetapi setakat ini masih belum menerima sebarang jawapan berkaitan siasatan kes berkenaan.

"Tangkapan dibuat oleh pihak kastam dan mereka menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

"Kita tidak mahu campur tangan dalam proses siasatan mereka di sana, kes berlaku di Hong Kong, biarlah polis Hong Kong menjalankan siasatan.

"Kita sudah memohon untuk mendapatkan perincian kes terbabit untuk memudahkan kita merangka tindakan selanjutnya, namun sehingga hari ini kita masih belum terima sebarang maklum balas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Tabung Prihatin Pengaman anjuran Yayasan Pengaman Malaysia di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, petang tadi.

Fuzi berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong untuk mendapatkan perkembangan berhubung siasatan kes berkenaan.

"Proses untuk mengekstradisi kesemua suspek mengambil masa yang agak lama, kalau siasatan polis Hong Kong selesai, kita mungkin akan ambil alih dan siasatan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas dan undang-undang yang kita ada," katanya.

Rabu lalu, enam rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pelancong ditahan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana cuba membawa masuk dadah ketamin.

Media tempatan melaporkan, mereka berusia antara 18 hingga 28 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan di kaunter kastam sebaik tiba di Hong Kong dari Kuala Lumpur.

Lebih lapan kilogram dadah disyaki ketamin ditemui dilekat pada badan empat daripada mereka. Siasatan awal menunjukkan dadah itu adalah untuk pasaran Hong Kong.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang membidas titah Sultan Selangor, Fuzi berkata siasatan akan dibuat selepas pihaknya menerima laporan.

"Saya dimaklumkan ada laporan yang dibuat berkaitan perkara itu, dan sudah pasti pihak polis akan jalankan siasatan.

"Untuk kes ini kita akan menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan atau Akta SKMM," katanya.

143 dibaca
Berita Harian X