Khamis, 7 Disember 2017 | 6:01pm
ANGGOTA Polis Marin berusaha mencari pisau yang dibuang suspek kes bunuh di Taman Arked Isnin lalu kedalam sungai dekat Kampung Charok Kelubi, Sungai Pasir. - Foto Omar Osman
ANGGOTA Polis Marin berusaha mencari pisau yang dibuang suspek kes bunuh di Taman Arked Isnin lalu kedalam sungai dekat Kampung Charok Kelubi, Sungai Pasir. - Foto Omar Osman

2 jam cari pisau dalam sungai

SUNGAI PETANI: Polis gagal menemui pisau yang digunakan dalam kes bunuh seorang lelaki di Taman Arked, di sini,

selepas dua jam melakukan pencarian dalam sungai.

Lima anggota Pasukan Marin Wilayah Utara di Pulau Pinang mencari senjata pembunuhan itu dalam sungai di di Kampung Charok Kelubi, dekat Sungai Pasir, di sini, berdasarkan maklumat yang diberikan suspek utama kes itu.

Terdahulu, suspek berusia 19 tahun yang dibawa ke sungai itu menunjukkan lokasi senjata pembunuhan terbabit dibuang.

Pencarian yang bermula jam 12 tengah hari itu gagal menemui pisau walaupun menggunakan alat pengesan logam, namun menemui sehelai seluar yang dipercayai milik suspek.

Sebelum itu, suspek dan sepupunya tiba di pekarangan mahkamah, kira-kira jam 9.45 pagi untuk perintah reman.

Kedua-duanya direman seminggu bermula hari ini sehingga 13 Disember ini bagi membantu membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, mengesahkan kes bunuh yang berpunca daripada maslaah hutang itu dianggap selesai selepas suspek utama menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, kelmarin.

"Selain suspek utama itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Taman Arked, yang juga saudara kepada suspek utama.

"Polis turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, pemilik kereta Perodua Axia yang ditemui terbakar di kawasan tangki air di Taman Delima pada hari mangsa dibunuh, yang turut mempunyai kaitan dengan kes itu," katanya.

1483 dibaca
Berita Harian X