Khamis, 7 Disember 2017 | 7:54pm

Akauntan wanita kena tendang, samun

PETALING JAYA: Seorang akauntan wanita ditendang di perut selepas cuba menyelamatkan beg tangannya daripada penyamun.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 39 tahun baru meletakkan kereta di hadapan pejabatnya di Jalan PJU 1A/10, Ara Damansara, di sini.

Berdasarkan satu rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 29 saat, yang dirakam dari pejabat mangsa, suasana persekitaran di lokasi kejadian kelihatan sunyi dan suspek dipercayai memerhatikan mangsa.

Melihat mangsa berseorangan, sebuah kereta PROTON Perdana berwarna biru menghampiri mangsa dan seorang daripada penumpang kenderaan itu turun dari kereta dan menuju ke arah mangsa lalu menarik beg tangannya.

Berlaku tarik-menarik dan suspek menendang mangsa menyebabkan mangsa terpaksa melepaskan beg tangannya.

Suspek kemudian melarikan diri bersama dua rakannya yang berada dalam kereta.

Difahamkan, kereta yang dinaiki suspek dipercayai terlebih dahulu dilarikan dari kawasan Puchong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa kerugian wang tunai RM200, telefon bimbit, dokumen diri dan kad bank.

"Kita sedang mengenal pasti suspek berdasarkan butiran terperinci yang diberikan mangsa selain rakaman CCTV," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

 

 

1578 dibaca
ACP Mohd Zani Che Din.- Foto Khairull Azry Bidin
BERLAKU tarik-menarik dan suspek menendang mangsa menyebabkan mangsa terpaksa melepaskan beg tangannya.
Berita Harian X