Khamis, 7 Disember 2017 | 9:39pm
KEADAAN mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kajang.

Konstabel putus tangan, patah leher akibat nahas

KAJANG: Seorang Konstabel Polis putus tangan kiri dan patah tulang bahagian leher, selepas motosikalnya terbabit dalam nahas dengan sebuah motosikal lain di Kilometer 1.4 Lebuhraya Kajang SILK di sini, awal pagi tadi.

Nahas berlaku kira-kira jam 7.50 pagi, ketika mangsa berusia 25 tahun yang bertugas di Cawangan Narkotik Polis Daerah Cheras itu, dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Baru Bangi selepas selesai tugas syif 24 jam.

Ketika tiba di lokasi, mangsa yang menunggang Yamaha 125Z dipercayai hilang kawalan, terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar belakang sebuah motosikal lain jenis Yamaha Lagenda ditunggang seorang lelaki berusia 47 tahun yang menuju arah sama.

Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa kemudian terbabas merempuh besi penghadang di tepi lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah pada bahu kiri dan leher.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan kecemasan. Namun tangan mangsa tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong separas bahu.

"Seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil, sementara kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

5214 dibaca
Berita Harian X