Khamis, 7 Disember 2017 | 10:13pm
PDRM logo

Dua lagi wanita 'peniaga' warga asing ditahan

PENAMPANG: Dua wanita warga Thailand yang dipercayai terbabit aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi WeChat serta laman web ditahan dalam serbuan di sebuah hotel, di Jalan Penampang, dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman, berkata wanita berusia 29 dan 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari JSJ Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang jam 12.30 tengah malam.

"Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang disyaki pelanggan untuk siasatan lanjut.

"Turut dirampas ialah sejumlah 68 keping kondom pelbagai jenama, wang tunai RM3,882 dan dua telefon bimbit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Salehhudin berkata, siasatan awal mendapati dua wanita terbabit memiliki pasport yang sah namun dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran menggunakan WeChat dan laman web dengan mengenakan bayaran antara RM220 hingga RM2,500.

"Polis juga kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap dalang aktiviti tidak bermoral ini," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi tujuan persundalan.

Dalam perkembangan lain, enam wanita warga Filipina ditahan kerana dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Labuan, semalam.

Salehhudin berkata, serbuan kira-kira jam 9.40 malam itu dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari JSJ IPD Labuan.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, didapati seramai enam warga Filipina berusia antara 28 hingga 35 tahun disyaki berkerja sebagai GRO di situ, iaitu bekerja tanpa permit pekerjaan yang sah.

"Selain itu, pihak polis turut merampas pelbagai dokumen dan resit perniagaan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti pengusaha pusat hiburan ini dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang ditetapkan," katanya.

537 dibaca
Berita Harian X