Rabu, 3 Januari 2018 | 2:40pm
Gambar Ihsan TLDM

2 penyelam TLDM selamatkan nelayan jatuh laut

LUMUT: Dua penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan seorang nelayan yang terjatuh dari botnya ke laut berhampiran Pangkalan TLDM di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.55 pagi, mangsa, Tan Ah Seng, diselamatkan dua penyelam Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti iaitu Norshadaan Ab Ghani dan Firdaus Yunus.

Dipercayai, mangsa yang beralamat di Pulau Pangkor dikatakan terjatuh akibat kerosakan pada stering bot, menyebabkan lelaki itu terhumban ke laut.

Asisten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Kepten Azman Rabani, berkata kejadian itu disedari dua anggota lain kapal berkenaan yang terdengar jeritan mangsa meminta tolong.

Katanya, anggota juga melihat mangsa sudah jatuh ke laut dilambung di bahagian kanan kapal dalam jarak kira-kira 30 meter.

"Anggota kemudian membuat 'loud alarm vocal' (teriakan kecemasan) dan petugas kuartemaster (QM) kapal yang menerima isyarat mengambil tindakan pantas dengan mencampakkan boya penyelamat dari Geladak Tambatan dan memaklumkan kepada Pegawai Bertugas Harian (PBH).

"PBH kemudian mengarahkan dua penyelam kapal yang berada di lokasi kejadian terjun menyelamatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, mangsa berjaya diselamatkan dua penyelam terbabit dan dibawa naik melalui jeti di himpitan yang lebih sesuai berikutan keadaan arus ketika itu.

"Mangsa dibawa ke kapal dan diberikan rawatan kecemasan serta disahkan selamat sebelum dibawa pulang nelayan lain pada jam 12 tengah hari tadi," katanya.

756 dibaca
Berita Harian X