;
Jumaat, 12 Januari 2018 | 11:37am

Farid Kamil direman empat hari

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari yang dipercayai menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir terhadap pelakon berusia 37 tahun itu, bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan; Seksyen 90 Akta Polis; Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Farid yang memakai baju lokap ungu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan menaiki trak polis kira-kira jam 10 pagi, sebelum diiiringi anggota polis ke kamar mahkamah pada jam 10.35 pagi untuk prosiding reman.

Kira-kira 15 minit kemudian, suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle, 27, dibawa keluar dari kamar mahkamah pada jam 10.50 pagi.

Turut kelihatan berada di kompleks mahkamah, adiknya, Fadzil Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Dalam kejadian pada jam 1.20 tengah hari semalam, pelakon terbabit dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Selain mencederakan polis yang berusia 24 tahun, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.

Difahamkan, sebelum kejadian tercetus di balai polis itu, beliau dikatakan menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 34 tahun, di tepi jalan berhampiran pusat beli-belah Tropicana di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

32035 dibaca
DATUK Farid Kamil direman selama empat hari bagi membantu siasatan di Kompleks Mahkamah Petaling. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X