Jumaat, 12 Januari 2018 | 6:38pm
KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa akibat kemalangan menyebabkan dua sahabat maut di Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di Jalan Salor Baru, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
ANTARA mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di Jalan Salor Baru, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

2 sahabat maut kemalangan

KOTA BHARU: Dua sahabat maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di Jalan Salor Baru, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi tadi, mangsa, Sabki Che Mud, 44, bersama seorang wanita yang identiti tidak dikenali, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidek, berkata ketika kejadian, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki mangsa gagal memotong sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, kereta dinaiki mangsa kemudiannya dilanggar sebuah kenderaan jenis Naza Citra dari arah bertentangan sebelum terbabas merempuh besi penghadang jalan.

"Akibat pelanggaran itu, Sabki tersepit, manakala penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat, manakala pemandu Naza Citra cedera ringan," katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, adik kepada Sabki, Mohamad Shahidan, 33, ketika ditemui di Unit Forensik HUSM, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan abangnya di rumahnya di Kampung Dewan Beta, di sini, malam tadi.

"Abang tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kami sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa abang pagi tadi.

"Walaupun sedih kami reda dengan ketentuan Illahi. Jenazah abang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kor, di sini selepas Isyak," katanya.

3223 dibaca
Berita Harian X