Jumaat, 12 Januari 2018 | 6:57pm
ANGGOTA penyelamat berusaha mengeluarkan motosikal mangsa yang terjatuh dalam runtuhan tanah di Kilometer 36 Jalan Marak Parak-Ranau, Kota Marudu. - Foto ihsan APM
MANGSA, Jaimin Bien. - Foto Lano Lan

Tanah runtuh: Mangsa tak sempat lihat cucu sulung

KOTA MARUDU: Hasrat seorang lelaki untuk menimang cucu sulung tidak kesampaian apabila dia bersama sepupunya maut tertimbus dalam runtuhan tanah di Kilometer 36 Jalan Marak Parak-Ranau, dekat sini, malam tadi.

Mardiana Majapah, 37, berkata suaminya, Jaimin Bien, 46, adalah insan paling gembira dan tidak sabar untuk melihat cucu sulung mereka yang dijangka lahir dalam masa  terdekat.

Jaimin dan sepupunya, Edmon James, 22, meninggal dunia selepas motosikal Honda EX5 dinaiki mereka terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter akibat tanah runtuh, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Kedua-dua lelaki itu turut tertimbus sebelum mayat mereka ditemui pasukan penyelamat.

"Dia suami yang periang dan mengambil berat berat hal keluarga terutama anak-anak. Suami juga hampir setiap hari bertanya khabar anak perempuan tunggal kami, yang kini menunggu hari untuk melahirkan cucu sulung kami," katanya.

Ketika ditemui di Hospital Kota Marudu sebentar tadi, Mardiana yang tinggal di Kampung Melangkap Tengah bersama anak-anak, berkata kali terakhir dia berjumpa mangsa pada malam Isnin lalu.

"Lazimnya, setiap Khamis atau Jumaat, dia akan mengambil saya dan anak-anak di Kampung Melangkap Tengah untuk dibawa balik ke Kampung Surun-Surun.

"Dia akan hantar kami balik ke ke Kampung Melangkap Tengah pada setiap Ahad. Bagaimanapun, saya mula bimbang apabila suami yang sepatutnya sampai ke rumah malam tadi, tidak muncul sehingga pagi," katanya.

Mardiana juga pelik apabila tiba-tiba suaminya memberitahu pada minggu lalu bahawa dia mahu disemadikan di sebelah kubur anak keempat mereka apabila meninggal dunia nanti.

Sementara itu, James Salut, 54, bapa kepada Edmon, berkata hatinya mula rasa tidak tenteram selepas gagal menghubungi telefon bimbit anak bongsunya itu.

"Edmon sentiasa menjawab panggilan, tetapi malam tadi saya hairan dia gagal dihubungi. Pada masa itu, rasa amat bimbang dan tidak sedap hati," katanya yang kali terakhir bertemu mangsa pada jam 8 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata polis menerima panggilan berhubung kejadian tanah runtuh itu pada jam 7.30 pagi.

"Motosikal Honda EX5 yang ditunggang Jaimin dilaporkan terjatuh dalam runtuhan berkenaan, sebelum kedua-dua mangsa ditimbus tanah.

"Anggota polis bersama bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berada di tempat kejadian dan dua mangsa yang maut dikeluarkan oleh bomba," katanya.

Punca kejadian tanah runtuh itu dipercayai akibat hujan lebat sejak dua hari lalu.

Tinjauan BH di lokasi mendapati kerja penyelenggaraan jalan dikendalikan kakitangan JKR, manakala runtuhan sudah ditutup menggunakan kanvas dan papan tanda amaran sudah dipasang.

1452 dibaca
Berita Harian X