Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:03pm
KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Geng curi motosikal tumpas

IPOH: Polis menemui 13 motosikal dan rangkanya di dua lokasi berasingan selepas menahan lima suspek yang aktif menjalankan kegiatan mencuri kenderaan itu di sekitar bandar raya ini sejak tiga tahun lalu.

Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Sri Desa, pada jam 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata ketika serbuan itu polis menemui tujuh motosikal iaitu empat rangka dan dua motosikal yang masih sempurna di belakang premis berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat terhadap kesemua suspek kemudian membawa kepada penemuan enam lagi rangka motosikal yang dibuang dalam semak di Jelapang pada jam 3.30 petang semalam.

"Daripada 13 motosikal termasuk rangka yang dirampas, tiga daripadanya dilaporkan hilang manakala selebihnya tidak dapat dikesan berikutan nombor casis serta enjin sudah diubah.

"Berdasarkan siasatan awal, semua suspek aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sejak tiga tahun lalu di sekitar bandar ini dan polis percaya kumpulan berkenaan mengubah suai motosikal sebelum menjual komponen kenderaan itu.

"Kebanyakan motosikal yang dirampas mudah dicuri dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM13,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan seorang daripada suspek berusia 27 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

"Semua suspek direman empat hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya.

634 dibaca
Berita Harian X