Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:30pm
KEADAAN kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mangsa yang terbabas sebelum melanggar tembok batu di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, kira-kira jam 12 tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mangsa yang terbabas sebelum melanggar tembok batu di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, kira-kira jam 12 tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba

Nenek, cucu maut MPV rempuh tembok

KUANTAN: Seorang wanita dan cucunya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tembok batu di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Minah Hassan, 82, serta cucunya, Nabilah Qistina Ahmad Zaim, 14, meninggal dunia di tempat kejadian.

Nahas dikatakan berpunca apabila Mitsubishi Grandis dipandu anak Minah, Ahmad Zaim Mokhtar, 54, dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing ke sebelah kiri jalan dan melanggar tembok batu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Deputi Superintendan Semari Sumar, berkata keluarga itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Chendering, Terengganu dari Sri Iskandar, Perak.

Katanya, penumpang lain dalam kenderaan terbabit ialah isteri Ahmad Zaim, Nor Azlina Mohamad, 54, dan anak sulung mereka, Farzana Naqiyah, 19, yang semuanya hanya cedera dan sedang dirawat di Hospital Bentong.

"Siasatan awal mendapati pemandu gagal mengawal kenderaannya akibat jalan licin serta berselekoh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semari berkata, keterangan pemandu itu akan diambil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

2229 dibaca
Berita Harian X