Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:48pm
KONG Weng Loon (gambar kecil) maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, petang tadi.

Lelaki maut kereta rempuh pokok

IPOH: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, Kong Weng Loon, 22, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah dan tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Raja Dr Nazrin Shah menghala ke Jalan Raja Musa Mahadi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta jenis Mazda dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pokok di bahu kiri jalan.

"Mangsa maut di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota yang tiba mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan maut oleh pihak hospital.

"Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa dan kemudian menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

833 dibaca
Berita Harian X