ALOR GAJAH: Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan (DM5) menahan tujuh warga Indonesia berserta sebuah bot muatan kargo dan rokok seludup bernilai keseluruhan RM1.86 juta di perairan Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.
Dalam tangkapan jam 11.10 malam itu, bot berkenaan dikesan pada kedudukan 6.2 batu nautika dari pantai Tanjung Bidara dalam keadaan mencurigakan sebelum bot laju DM5 dengan kekuatan lima anggota ke lokasi terbabit.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia DM5, Komander Maritim Azman Samsudin, berkata dalam operasi itu pihaknya menahan seorang tekong dan enam awak-awak berusia antara 22 hingga 50 tahun dipercayai sudah lama melakukan kegiatan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 1,200 kotak mengandungi 50 karton rokok putih setiap satu kotak yang diletakkan penuh di dalam bot termasuk di bahagian anjung bot dan ditutupi dengan kanvas bagi mengaburi mata penguat kuasa.

"Pada masa sama kita turut mengesan terdapat dua bot pancung berhampiran bot muatan kargo itu dipercayai baharu selesai memunggah sebahagian rokok seludup untuk dibawa ke lokasi menghala ke Kuala Sepang, Selangor," katanya pada sidang media di pejabat Maritim Malaysia DM5, Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek turut dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk gagal melaporkan ketibaan, kapal dalam keadaan gelap, memasuki perairan Malaysia secara tidak sah serta beberapa kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.
"Bot muatan kargo juga ditunda ke jeti Maritim Malaysia DM5, manakala kesemua suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman," katanya.