Rabu, 14 Februari 2018 | 3:42pm

Alih dana, bekas pegawai bank didenda RM8,000

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang bekas pegawai bank mengalihkan wang RM22,500 yang bukan miliknya ke dalam akaun banknya membawa padah apabila dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Rafidah Che Mat Zain @ Zainuddin, 42, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan curangnya membantu seorang lelaki warga Nigeria mengalihkan wang ke dalam akaun bank miliknya sebanyak RM22,500 secara berperingkat yang mana tertuduh mengetahui wang itu bukanlah miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Metro Perdana Timur 2, Taman Usahawan, Kepong, di sini antara jam 8 pagi hingga 11.59 malam, Jun dan Julai 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Rafidah yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya atas alasan dia kini tidak bekerja dan ditanggung oleh suami serta mempunyai lima anak.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sariaty Zainal bagaimanapun memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan jenayah ini semakin berleluasa di negara ini.

Berdasarkan fakta kes, mangsa seorang wanita yang berusia 34 tahun dihubungi seorang lelaki warga asing yang mengaku ejen FBI di negara ini memberitahu bahawa foto mangsa yang tidak berpakaian telah tersebar di media sosial.

Lelaki itu telah menyuruh mangsa memasukkan wang berjumlah RM12,500 ke dalam akaun milik tertuduh sekiranya tidak mahu gambar mangsa tersebar.

Mangsa telah memasukkan wang itu secara berperingkat dan lelaki berkenaan telah meminta lagi wang RM10,000 untuk dimasukkan ke dalam akaun yang sama.

Mangsa bagaimanapun merasakan sesuatu yang mencurigakan dan kemudian membuat laporan polis.

Hasil siasatan mendapati akaun bank itu milik tertuduh yang mana Rafidah telah memberikan kad pengeluaran wang automatik (ATM) berserta nombor PIN kepada lelaki warga asing itu.

578 dibaca
Berita Harian X