Rabu, 14 Februari 2018 | 6:14pm

Janda anak 10 khayal bersama-sama adik, anak saudara

BALING: Tindakan janda beranak 10 sedang berkhayal bersama-sama adik dan anak saudara lelakinya di rumah mereka di Kampung Padang Chicar, Kuala Ketil, di sini, mengundang padah apabila ditahanAgensi Antidadah Kebangsaan (AADK), hari ini.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 10 pagi itu, wanita berusia 42 tahun ditahan bersama lapan penagih dadah di sekitar Taman Muslim, Kampung Padang Chicar, Taman Desa Bidara dan Kampung Pak Bong.

Ketua Unit Penguatkuasa AADK Baling, Nor Hajar Aswat Kamis, berkata operasi itu dijalankan bersama Skim Ronda Sukarela (SRS), Unit Kawalan Kampung (UKK) dan imam menahan mereka yang berusia 19 hingga 42 tahun hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya.

Katanya, ketika ditahan, wanita terbabit dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan paling menyedihkan siasatan juga mendapati anak sulungnya berusia 20-an turut terbabit dalam gejala itu, namun ketika kejadian dia tiada di rumah.

"Ketika disoal siasat, wanita itu memberitahu dia kahwin dengan bekas suaminya yang juga penagih dadah ketika berusia 15 tahun.

"Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan 10 orang anak, dia sudah berpisah dengan suaminya lima tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nor Hajar berkata, lebih menyedihkan ada antara anak-anak wanita itu yang tidak bersekolah.

"Mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Pejabat AADK Daerah Baling dan hasil ujian air kencing mendapati positif dadah morfin dan methamphetamine.

"Mereka dihantar ke Pusat Tahanan Reman, Serdang untuk siasatan lanjut selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan), 1983," katanya.

Beliau berkata, AADK sentiasa mendapat kerjasama daripada agensi dan sukarelawan untuk membanteras gejala dadah.

"Kita juga mendapat kerjasama penduduk kampung untuk memusnah dan membersih lokasi menagih dadah.

"Kita akan menggempur berterusan bagi membanteras gejala dadah tanpa mengira latar belakang dan usia," katanya.

5732 dibaca
Berita Harian X