;
Rabu, 14 Februari 2018 | 6:16pm

Bapa cabul anak umur setahun

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa berhati binatang ditahan apabila disyaki sanggup melakukan perbuatan terkutuk dengan mencabul bayi perempuannya berusia 12 bulan.

Tindakan terkutuk suspek berusia 36 tahun terbabit terbongkar apabila ibu mangsa menyedari perubahan anak perempuannya itu yang kerap menangis ketika kemaluannya dicuci, Isnin lalu.

Mengesyaki ada yang tidak kena dengan anaknya, ibu berusia 28 tahun ini membuat laporan di Balai Polis Manir di sini, sebelum merujuk anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan.

Susulan laporan polis itu, suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Perintah reman terbabit dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Noradila Abd Latiff.

Menurut sumber, bayi terbabit dijaga secara bergilir-gilir oleh pasangan berkenaan yang kini menetap secara berasingan berikutan dalam proses perceraian, sejak November lalu.

"Suspek menghantar pulang anaknya itu ke rumah isterinya di Kampong Manir, di sini, pada jam 12 tengah malam, Isnin lalu, dan bayi itu dalam keadaan baik pada mulanya.

"Bagaimanapun, ketika menukar lampin bayi berkenaan, ibunya mendapati terdapat kesan kemerah-merahan di kemaluan anaknya itu selain kerap menangis setiap kali bahagian sulitnya dicuci.

"Curiga terhadap perubahan itu, wanita berusia 28 tahun terbabit membuat laporan polis berhubung perkara itu sebelum bayi berkenaan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan kes masih dalam siasatan.

5854 dibaca
Berita Harian X