Rabu, 14 Februari 2018 | 10:32pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad semasa sidang media pada majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu di Wisma Darul Iman. - Foto Ghazali Kori

SPRM tidak dapat jumpa Azmin

SHAH ALAM: Pertemuan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), hari ini, tidak kesampaian.

Menurut sumber, jadual pertemuan sudah dirancang, malah Mohamed Azmin sudah dimaklumkan mengenai perkara itu lebih awal.

Bagaimanapun, kedatangan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, itu tidak mendatangkan hasil berikutan pertemuan berkenaan ditangguhkan.

"Pihak SPRM berada kira-kira 30 minit di dalam bilik Menteri Besar tetapi pertemuan tidak dapat dijalankan kerana Mohamaed Azmin perlu hadir ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

"Setakat ini, tidak ada tarikh baharu ditetapkan untuk pertemuan akan datang," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Alias ketika hadir ke Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) dan Pelancaran Kempen Gempur Majlis Perbandaran Sepang, memaklumkan akan bertemu Mohamed Azmin, hari ini (semalam), bagi membincangkan program menandatangani IBR yang masih belum dilaksanakan di Selangor.

Pada Januari lalu, bekas Pengarah SPRM Selangor yang kini dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Perisikan SPRM, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah mengakui kecewa kerana gagal memujuk Kerajaan PKR Selangor menandatangani IBR.

Mohamed Azmin pula menafikan dakwaan beliau enggan berkerjasama dengan SPRM berhubung IBR berkenaan, malah mendakwa surat yang dihantar kepada SPRM, masih tidak berbalas.

Sehingga hari ini, Selangor adalah satu-satu Kerajaan Negeri yang belum menandatangi program itu.

Sementara itu, seorang sumber di Pejabat Menteri Besar memaklumkan Mohamed Azmin tiada di pejabat kerana berada di hospital berikutan anaknya melahirkan cucu sulungnya.

1162 dibaca
Berita Harian X