Selasa, 13 March 2018 | 9:24pm
Keadaan lokasi seorang warga emas yang berumur 69 tahun dipercayai membunuh diri di Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Warga emas maut terjun bangunan kedai

MELAKA: Seorang warga emas maut akibat cedera parah selepas dipercayai terjun dari tingkat dua bangunan kedai BB Bazaar Melaka, Bukit Beruang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mayat Gan Lian Heng, 69, ditemui berhampiran kedai dobi layan diri oleh pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan terbabit.

Difahamkan, kejadian disedari pengawal keselamatan itu yang terdengar bunyi dentuman kuat seperti objek berat jatuh ke tingkat bawah.

Sumber berkata, sejurus terdengar bunyi dentuman itu pengawal keselamatan berkenaan segera keluar dari bangunan, sebelum mendapati mayat seorang lelaki tertiarap di lantai kaki lima bangunan.


Anggota polis mengangkat mayat warga emas yang berumur 69 tahun yang dipercayai membunuh diri di Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

"Mangsa dipercayai terjun dari tingkat dua bangunan dan siasatan awal menemui sepasang selipar dipercayai miliknya di tingkat dua," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

"Polis masih melakukan siasatan mengenai motif kejadian, namun ada saksi yang nampak mangsa terjatuh dari atas bangunan terbabit.

"Buat masa sekarang, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

1106 dibaca
Berita Harian X