Selasa, 13 March 2018 | 10:04pm

'Waspada surat tawaran pingat palsu' - Dewan Diraja Selangor

SHAH ALAM: Satu surat tawaran palsu kononnya penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran oleh Istana Selangor, dikesan tersebar di negeri ini.

Difahamkan, perbuatan itu disedari selepas surat berkenaan diserahkan kepada Dewan Diraja Selangor kelmarin, sebelum satu laporan polis dibuat semalam.

Bagaimanapun, identiti sebenar individu yang dinamakan dalam surat berkenaan tidak diketahui.

Surat palsu itu antara lain menyebut seorang individu dengan nama Dato Goh Boon Long dianugerahkan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor tanpa dinamakan jenis pingat yang akan diterima.

Istana Selangor dalam satu kenyataan, menyatakan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tawaran penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor yang membawa 'Dato' kepada individu bernama Goh Boon Leong.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanfisah Jais, berkata satu laporan polis dibuat terhadap individu itu membabitkan dakwaan pemalsuan surat berkenaan yang kononnya mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Surat berkenaan mengandungi beberapa fakta tidak benar termasuk menggunakan Jata Negeri Selangor yang salah, serta nama dan tandatangan Setiausaha Dewan Diraja Selangor yang palsu.

"Perbuatan ini adalah satu jenayah penipuan yang amat serius dengan tujuan memperdaya orang ramai selain menjejaskan nama baik Sultan Selangor serta mencemarkan institusi Diraja Selangor.

"Saya berharap orang ramai mengambil maklum mengenai perkara ini dan mengelak daripada terpedaya dengan cubaan individu tertentu yang melakukan penipuan demi kepentingan peribadi mereka," katanya.

Hanafisah berkata, orang ramai digesa mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa sekiranya ada sebarang keraguan membabitkan penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor.

314 dibaca
Berita Harian X