Selasa, 13 March 2018 | 10:06pm

Guna saluran betul sebelum bekerja di luar negara

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengingatkan warga negara Malaysia yang bercadang bekerja di luar negara supaya menggunakan saluran serta prosedur yang ditetapkan negara berkenaan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata mereka perlu mendapatkan visa bekerja terlebih dahulu sebelum pergi ke negara asing.

"Jangan tertipu dengan skim tertentu yang menjanjikan pekerjaan di luar negara jika visa atau permit bekerja sah tidak diperoleh terlebih dahulu," kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata sebarang pertanyaan boleh dikemukakan secara terus kepada perwakilan Malaysia di mana-mana negara berkenaan dan maklumat mengenai mereka boleh diperoleh melalui laman web www.kln.gov.my.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan 5,000 rakyat Malaysia bekerja secara tidak sah di Korea Selatan.

Mereka dilaporkan ke Korea Selatan sebagai pelancong, namun menjadi pendatang tanpa izin (PATI) atau buruh haram sebelum akhirnya bergelar gelandangan.

482 dibaca
Berita Harian X