Selasa, 13 March 2018 | 11:26pm

Eksekutif pecah amanah

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang eksekutif jualan di sebuah rumah di Jalan Besar Telok Air Tawar di sini, petang tadi, kerana disyaki pecah amanah jualan kad prabayar bernilai RM97,116.40.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, suspek berusia 36 tahun ditahan kerana gagal memulangkan sejumlah 13,004 keping kad prabayar kepada sebuah syarikat pengedar di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad, berkata suspek dipercayai melakukan jenayah pecah amanah apabila menggunakan semua stok kad prabayar milik syarikat terbabit bagi kegunaan sendiri.

Katanya, suspek berkhidmat dengan syarikat terbabit sejak 2009 dan ditugaskan membuat jualan kad prabayar kepada peniaga di kawasan Bagan, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

"Pada Februari 2015, pihak syarikat mengesan berlaku lebihan stok dan mengarahkan suspek memulangkan semua kad prabayar terbabit, namun dia gagal berbuat demikian," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pagi esok, atas tuduhan pecah amanah.

793 dibaca
Berita Harian X