Rabu, 14 March 2018 | 11:55am
SOFI Jikan hadir ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini, selepas mahkamah menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kesnya yang menghadapi pertuduhan mengambil ganja pada Februari lalu. - Foto Saddam Yusoff
SOFI Jikan hadir ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini, selepas mahkamah menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kesnya yang menghadapi pertuduhan mengambil ganja pada Februari lalu. - Foto Saddam Yusoff

Kes ganja Sofi Jikan disebut semula 11 April

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini, menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes pelakon Sofi Jikan yang menghadapi pertuduhan mengambil ganja pada Februari lalu.

Majistret Nurulhuda Zakariya menetapkan tarikh itu terhadap Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, ketika prosiding sebutan semula kes terbabit hari ini.

Ketika prosiding berlangsung, dokumen kes berkenaan diserahkan pihak pendakwaan kepada peguam bela pelakon terbabit, Datuk Haniff Hassan.

Pada 13 Februari lalu, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC iaitu sejenis dadah dalam ganja.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit ketika berada di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy.

Sebelum ini, pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas di sebuah balai polis, Januari lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan Sofi yang didapati positif dadah ketika memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiara Damansara, 6 Febuari lalu.

1102 dibaca
Berita Harian X