Isnin, 16 April 2018 | 10:03am
KEADAAN sebuah rumah selepas terbakar serta mengorbankan tiga beradik berumur antara tiga hingga lima tahun ditemui rentung, di Kampung Pegagau musnah dalam kebakaran malam tadi. - Foto ihsan bomba

Tiga beradik rentung rumah terbakar

SEMPORNA: Tiga beradik berumur antara tiga hingga lima tahun ditemui rentung apabila rumah mereka di Kampung Pegagau dekat sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam, ketiga-tiga mangsa dipercayai terperangkap di rumah terbabit dan tidak sempat diselamatkan.

Mereka ialah kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dikenali sebagai Puangsa, dan dua adik lelakinya, Emang, 5, serta Botak, 3.

Kesemua mangsa ditemui rentung di dalam sebuah bilik tidur rumah berkenaan.


KEADAAN sebuah rumah selepas terbakar serta mengorbankan tiga beradik berumur antara tiga hingga lima tahun ditemui rentung, di Kampung Pegagau musnah dalam kebakaran malam tadi. - Foto ihsan bomba

Difahamkan, ketika kejadian, hanya tiga beradik itu berada di rumah sementara bapa mangsa keluar untuk mengambil ibu mereka pulang dari kerja.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan, berkata 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.47 malam.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati rumah terbabit sudah terbakar 95 peratus.

"Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran, selain cuba menyelamatkan mangsa sebelum mereka ditemui rentung sebaik operasi terkawal kira-kira jam 9 malam," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.43 malam dan mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

747 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »