Isnin, 16 April 2018 | 5:15pm
MANGSA pendaki terperangkap di atas bukit Batu Caves berjaya di bawa turun. - Foto ihsan bomba

Pacak bendera punca 20 lelaki sesat di Batu Caves

GOMBAK: "Dua kali kami melaungkan azan sebelum nampak laluan untuk turun kerana keadaan gelap serta licin," kata Mohd Izzwan Wahid, seorang daripada 20 lelaki yang tersesat ketika mendaki bukit Batu Caves, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kumpulan penduduk kampung berhampiran kawasan itu, mendaki bukit berkenaan untuk memasang bendera sebuah parti politik di puncaknya, tetapi tidak dapat turun.

Mohd Izzwan, 22, berkata mereka yang diketuai seorang warga emas berusia 70 tahun itu, mendaki bukit berkenaan mulai jam 9.30 pagi sebelum tiba di puncak kira-kira jam 5 petang.

"Sebaik tiba di puncak, kami mula memasang bendera sehingga selesai kira-kira jam 7 malam. Namun, ketika menuruni bukit, hujan lebat menyebabkan laluan licin dan hari sudah bertukar gelap.

"Tambah memburukkan keadaan apabila lampu suluh yang dibawa kehabisan bateri, menyebabkan kami terpaksa bergerak secara perlahan dalam kegelapan," katanya ketika ditemui di Kampung Gombak Indah, di sini, hari ini.

Mohd Izzwan yang juga seorang peniaga, berkata kesukaran mengenal pasti laluan untuk menuruni bukit itu menyebabkan seorang rakannya melaungkan azan.

"Rakan saya, Mohd Ashraf, 24, melaungkan azan dua kali ketika kami terpaksa berhenti. Sebaik azan dilaungkan, kami boleh melihat laluan turun dengan jelas, namun tidak mampu menuruni bukit kerana ada yang sudah lemah dan kehabisan tenaga, sebelum kami menghubungi bantuan bomba," katanya.

Beliau berkatam sepanjang perjalanan menuruni bukit, mereka terpaksa memapah warga emas yang juga ketua kumpulan terbabit kerana terjatuh beberapa kali akibat laluan licin.

"Seorang rakan cedera di kaki dan paha kanan ketika menahannya daripada terjatuh. Kami sering mendaki bukit terbabit, namun ini adalah kali pertama berdepan situasi mencabar itu," katanya.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan bantuan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.01 malam.

Katanya, seramai 14 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kami turut mendapatkan bantuan dari BBP Kepong dan Gombak bagi membantu membawa turun 20 mangsa yang berusia antara 20 hingga 70 tahun.

"Mereka semua berjaya dibawa turun jam 12.30 tengah malam tadi. Ketika dibawa turun, mereka dalam keadaan lemah kerana kehilangan tenaga," katanya.

1676 dibaca
Berita Harian X