Isnin, 16 April 2018 | 7:06pm

Polis Marin rampas rokok RM1.7 juta

ALOR GAJAH: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Melaka menggagalkan penyeludupan rokok seludup bernilai RM1.7 juta dalam serbuan di Pangkalan Nelayan Sungai Nipah, Lukut, Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, aktiviti penyeludupan itu dikesan selepas pihaknya menerima maklumat awam sebelum sepasukan anggota PPM ke lokasi kejadian jam 9 malam.

Beliau berkata, sekumpulan lebih 10 lelaki berada di lokasi kejadian dan sedang melakukan kerja pemunggahan rokok dari bot pancung ke dalam lori yang berada di daratan.

"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa mereka melarikan diri ke hutan bakau berdekatan.

"Hasil pemeriksaan di dalam bot dan lori menemui masing-masing 205 kotak rokok jenama Canyon dan 135 rokok Luffman," katanya pada sidang media di Pejabat PPM Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Khon Chiang berkata, rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan untuk kegunaan pasaran di Semenanjung manakala lokasi kejadian itu pula antara lokasi panas yang dikenal pasti.

Beliau berkata, selain rokok turut dirampas dua lori tiga tan dan sebuah bot pancung yang keseluruhannya bernilai RM2,093,600.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemilik lori berkenaan sama ada berdaftar dengan syarikat atau perseorangan," katanya.

Sementara itu, Khon Chiang berkata, sehingga semalam tiga kes rampasan rokok tidak sah membabitkan nilai berjumlah RM4,579,650 berjaya dirampas oleh PPM Wilayah Dua.

192 dibaca
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Asisten Komisional Paul Khiu Khon Chiang (tiga dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada Sidang Akhbar mengenai Rampasan Rokok Seludup pelbagai jenama oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 2 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Kuala Linggi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »