Isnin, 16 April 2018 | 8:56pm
Anggota Bomba dan Penyelamat memadam sisa kebakaran sebuah kereta Proton Wira yang terbakar di bahagian enjin selepas kenderaan itu dipercayai disambar petir ketika cuaca hujan lebat, dalam kejadian di Peringgit Pantai. - Foto ihsan Bomba

Kereta berapi dalam hujan

MELAKA: Sebuah PROTON Wira terbakar di bahagian enjin dipercayai disambar petir ketika hujan lebat di Peringgit Pantai, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, menyebabkan penduduk berdekatan cemas disebabkan bunyi yang kuat.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, bunyi dentuman yang kuat di luar rumahnya berlaku secara tiba-tiba ketika hujan lebat.

"Saya sangat terkejut dan pelik dengan bunyi itu, keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Kemudian saya nampak, kereta milik seorang penduduk yang diletakkan di bawah pokok, terbakar di bahagian enjin (depan).


Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan sebuah kereta Proton Wira yang terbakar dibahagian enjin selepas kenderaan itu dipercayai disambar petir ketika cuaca hujan lebat, dalam kejadian di Peringgit Pantai. - Foto ihsan Bomba

"Kereta itu sudah diletakkan di situ sejak malam tadi dan terdapat kesan berlubang pada permukaan but," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.08 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi.

"Kebakaran hanya membabitkan bahagian enjin kereta sahaja dan musnah sepenuhnya.

"Anggota mengambil masa 30 minit untuk memadamkan kebakaran itu. Punca sebenar masih lagi dalam siasatan," katanya.

839 dibaca
Berita Harian X